act
Saturday, December 7, 2013

2:51 AM
Deodoran, Antiperspirant, Ketiak, Bau Badan














Rutin harian kebanyakan masyarakat moden hari ini sewaktu lepas mandi adalah menenyeh deodoran ke celah ketiak. Deodoran dikatakan mampu menghilangkan bau badan yang kurang menyenangkan serta mampu meningkatkan keyakinan diri si pemakai deodoran. Hidup anda akan lebih ceria tanpa bau ketiak. Itu ikut cakap iklan kat TV la kan.
Hakikatnya, konsep tentang menggunakan bahan kimia untuk menutup liang perpeluhan celah ketiak anda cuma bermula sekitar kurun ke-20 dahulu.
Sebelum itu, berpeluh dianggap sebagai perkara normal yang berlaku pada setiap manusia. Memanglah berpeluh jika tidak kena gayanya, akan sedikit sebanyak membuatkan kita rasa tak selesa. Cuma, bercerita tentang perihal peluh secara terbuka pada waktu itu bagi masyarakat Barat dianggap sebagai tidak sopan.
Tidak lama kemudian muncul Edna Murphy memperkenalkan sejenis bahan kimia yang kebetulan dicipta oleh abahnya untuk membuatkan tangannya kekal kering sewaktu membuat pembedahan. Edna Murphy telah mendapati bahawa bahan tersebut juga mampu menghalang peluh di celah ketiak. Beliau membotolkannya serta menamakannya sebagai Odorono (Odor? Oh no!). Buruk betul namanya. Hal ini kerana menamakan produk dengan nama yang gempak bukanlah kepakaran beliau.
Begitu juga dengan halnya sewaktu beliau cuba menjual produk beliau. Beliau mendapati ia adalah sukar untuk menjual produk ajaib terbaru ini. Orang ramai pada waktu itu tidak nampak apa faedahnya mencegah ketiak dari berpeluh.
Tidak seperti produk antiperspirants masa kini, produk Odorono terlalu kuat hinggakan ketiak pemakainya tidak akan berpeluh sehingga tiga hari - hingga membuatkan orang ramai tertanya-tanya adakah ianya mampu memberikan kesan terhadap tahap kesihatan seseorang. Tambahan pula, isi kandungannya turut mengandungi asid yang mampu mereputkan fabrik si pemakai. Odorono kelihatan seperti sebuah produk yang dicipta oleh orang gila.
Namun begitu, tuah ayam nampak di taji, tuah manusia siapa yang tahu. Edna Murphy bekerjasama dengan seorang jurujual kitab Injil dari rumah ke rumah merangkap pakar pengiklanan, James Young. Beliau telah diamanahkan untuk menjalankan satu tugas utama.
Buatkan para wanita berasa malu dengan peluh sendiri.
Weirduniverse
Pada permulaannya, James Young telah melancarkan kempen iklan besar-besaran yang mendakwa berpeluh secara melampau itu adalah satu penyakit yang memerlukan rawatan. Kemudian, setelah orang ramai mendapati produk antiperspirants adalah penawarnya, James Young mengorak langkah seterusnya dengan mewujudkan kesangsian orang ramai bahawa, jika ketiak anda berbau akibat peluh, orang disekeliling anda akan mengumpat perihal bau badan anda. Hinggakan pernah wujud satu iklan pada tahun 1926 mendakwa bahawa wanita yang ketiaknya rajin berpeluh tidak boleh diterima dalam masyarakat. Sewaktu zaman Kemelesetan Besar (Great Depression) era 30'an, ketika rakyat Amerika pada waktu itu sedang sibuk tentang makanan dan peluang kerja, iklan Odorono menunjukkan tentang bagaimana bau badan anda mampu membuatkan anda hilang pekerjaan.
Hasil daripada usaha licik James Young memperalatkan persepsi orang ramai, produk yang dahulunya yang langsung takda orang berkenan, kini telah dianggap sebagai satu 'keperluan'.
Ia juga berlaku pada diri aku apabila menganggap ianya sebagai keperluan sejak zaman sekolah menengah dan telah menjadi sebahagian rutin harian sebaik sahaja selesai mandi. Walaupun pernah satu ketika dulu, aku bekerja sebagai cleaner yang sentiasa bergelumang dengan bau busuk sampah, rutin harian menenyeh deodoran untuk hilangkan bau ketiak tidak pernah ditinggalkan.
Punya kuat pengaruh pengiklanan ni. Sampai logik akal kita pun tak boleh nak tafsirkan.

0 comments:

Post a Comment